Sunday, June 20, 2010

XPDC Trans Titiwangsa V1

Sudah dua bulan rupanya aku tidak mengemaskini blog aku ini. Kali ini aku ingin bercerita pengalaman sepanjang XPDC Trans Titiwangsa V1 yang melibatkan Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar. Ketiga-tiganya tersenarai dalam senarai G7 iaitu 7 gunung yang tertinggi di semenanjung Malaysia. Alhamdulillah, XPDC ini berjaya ditamatkan dalam masa 4 hari 3 malam. Seramai 8 orang telah menyertai XPDC ini yang terdiri daripada 5 orang jejaka kacak lagi tampan (Don, Zack, Mad, Cagan dan aku) dan 3 orang gadis ayu yang takut pacat (GG, Mida dan Shifaa). Trekker kami ialah abg Rajes yang sangat hebat orangnya.

Di stesen bas Bukit Jalil

4 Jun 2010

Kami bertolak ke Gopeng, Perak pada pukul 6.15 petang. Berlaku sedikit peristiwa yang sangat dramatik sebelum menaiki bas. Hahahaha... Kami tiba di Gopeng lebih kurang pukul 9.30 malam. Kami menunaikan kewajipan dan makan sejurus selepas itu. Selepas makan, kami betolak ke sebuah kampung orang asli di mana kami akan memulakan pendakian kami. Kami sangat bertuah kerana mendapat tempat penginapan di salah sebuah rumah orang asli di situ.


Sebelum pendakian bermula

5 Jun 2010
Kami bersiap seawal pagi untuk memulakan pendakian ke kaki Gunung Korbu. Pengalaman dihantar ke kawasan empangan dengan menaiki motorsikal amat menggerunkan tapi menyeronokkan. Dari empangan, kami menaiki pickup untuk ke tempat permulaan trekking. Sangat seronok. Sebelum memulakan pendakian, kami streching sebagai pemanas badan. hehehe. Pendakian dimulakan lebih kurang pukul 9.30 pagi. Kami makan tengah hari di Kem Seroja. Berlaku sedikit peristiwa jerit menjerit disebabkan seekor pacat di sini. (hihihi). Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Kem Kijang. Disebabkan masih terlalu awal, kami meneruskan perjalanan ke Last Waterpoint dan bermalam di situ.

Di last waterpoint

6 Jun 2010
Seperti biasa, kami bersiap seawal mungkin untuk meneruskan pendakian ke puncak gunung Korbu dan gunung Gayong. Pendakian ke puncak Korbu sangat mencabar kerana laluannya yang sentiasa mendaki dan mencanak sehinggakan ada yang mencecah 90 darjah kecanakannya memaksa kami menggunakan tali dan berpaut pada dinding batu. Dah jadi macam rock climbing plak. hahaha. Pendakian ke puncak Korbu memakan masa selama hampir 3 jam. Sangat memenatkan. Setelah tiba di puncak Korbu, kami mengambil gambar dan makan tengah hari. Kemudian, kami meneruskan pendakian ke puncak Gayong. Perjalanan ke puncak Gayong agak psiko kerana kami perlu naik dan turun beberapa "puncak tipu" sebelum tiba di puncak Gayong. Pendakian ke Puncak Gayong memakan masa hampir 3 jam juga. Setelah tiba di puncak Gayong, kami meneruskan perjalanan ke Kem H2O atas nasihat trekker. Namun disebabkan kami telah terlalu penat, perjalanan ke Kem H2O menjadi terlalu lambat dan menyebabkan kami terpaksa berjalan malam sehingga pukul 11 malam dan kami terpaksa berhenti di pertengahan jalan iaitu di puncak Junction.

Puncak Gunung Korbu

Puncak Gunung Gayong

Puncak Junction

7 Jun 2010
Berlaku beberapa peristiwa yang agak melucukan di puncak junction senelum tidur pada malamnya dan sebelum bergerak ke kem H2O. Namun, peristiwa-peristiwa itu tidak dapat diceritakan di sini.
Kami bergerak seawal pukul 8.30 pagi untuk menuju ke Kem H2O. Air untuk minuman terpaksa dijimatkan untuk sampai ke Kem H2O kerana tiada sumber air di puncak Junction. Perjalanan memakan masa lebih kurang 4 jam untuk tiba di Kem H2O. Kami makan tengah hari dan menunaikan kewajipan di sana. Lebih kurang pukul 2.00 petang, kami bergerak ke kaki Yong Belar. Mengikut rancangan awal, kami akan bermalam di Kem Kasut selepas melihat matahari terbenam di puncak Yong Belar, akan tetapi, perjalanan kami yang agak perlahan memaksa kami bermalam di Kem Kuali iaitu di kaki gunung Yong Belar kerana kami tidak mahu berjalan malam lagi. huhuhu.

Matahari terbenam (dari kem Kuali)

Puncak H2O (selepas melalui kem H2O)

Kem Kuali

8 Jun 2010
Hari ke-4 di dalam hutan. Target kami hari ini ialah keluar ke Blue Valley. Pendakian ke puncak Yong Belar dari Kem Kuali tidaklah begitu sukar jika dibandingkan dengan pendakian ke puncak Korbu. Laluan yang agak mencanak berjaya ditempuhi. Setibanya di puncak Yong Belar, kami berasa amat gembira kerana telah berjaya menawan 3 puncak dalam senarai G7. Alhamdulillah. Kemudian, kami meneruskan perjalanan untuk keluar ke Blue Valley. Dua kem dilalui iaitu Kem Kasut dan Kem Tudung Periuk. Kami makan tengah hari (sebenarnya dah bleh cakap minum petang) di sebatang anak sungai sebelum kuar ke empangan di mana pickup menunggu kami untuk membawa kami ke Brinchang, Cameron Highland. Kami tiba di kawasan empangan pada pukul 8.00 malam dan tiba di Brinchang lebih kurang pukul 9.30 malam. Kami membersihkan diri dan menunaikan kewajipan di homestay yang berjaya disewa pada saat-saat terakhir. Setelah selesai, kami ke medan selera untuk menjamu selera. Setelah kenyang, kami pulang ke tempat penginapan dan tidur...

Di puncak Yong Belar

Kem Kasut

Kem Tudung Periuk


Memasak lunch hari terakhir

Sebelum bergerak ke Brinchang

9 Jun 2010
Aktiviti hari ini ialah berjalan-jalan di sekitar pekan Brinchang. Kami bersarapan pagi di medan selera dan membeli tiket untuk pulang ke Kuala Lumpur. Hanya Don seorang terus pulang ke Pulau Pinang untuk berjumpa keluarga yang tercinta. Kami mengosongkan homestay sebelum tengah hari dan menghatar Don menaiki bas sebelum kami bergerak ke Tanah Rata untuk menaiki bas. Sebelum pulang, kami sempat menjamu selera di Marry Brown. Kami menaiki bas pada pukul 4.30 petang dan tiba di stesen bas Bukit Jalil pada pukul 9.30 malam. Kemudian, kami mengucapkan selamat tinggal pada semua peserta kerana kami menuju ke destinasi masing-masing selepas itu.

*** secara keseluruhannya, kami amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat-NYA kami berjaya menamatkan XPDC ini dengan jayanya tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Kepada semua peserta, semoga kita akan berjumpa lagi selepas ini dan kita boleh menyertai XPDC seperti ini bersama-sama lagi. Tahniah kepada semua pendaki. Korang memang best...